Feeds:
Posts
Comments

Archive for June, 2009

Lazimnya solat fardu dilaksanakan di masjid dan surau. Di sini, imam memainkan peranan yang penting dalam memimpin ibadat solat dengan baik dan sempurna. Sepanjang solat fardu berjemaah, makmum hendaklah menuruti, mematuhi dan mengikuti perbuatan imam sehingga imam memberikan salam. Malah, makmum dilarang memutuskan solat tanpa sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak. Jelas bahawa imam mempunyai pilihan dan kebijaksanaan dalam mengatur perjalanan solat demi keredaan Allah dan pada masa yang sama dapat menarik kedatangan jemaah ke masjid atau surau.

Fokus utama imam ialah menyempurnakan perintah Allah ini dengan sebaik mungkin. Dalam hal pelaksanaan, sebaik dan terbaik ialah dengan melaksanakannya dengan penuh rukun dan syarat, pada masa yang sama ia tidak membebankan jemaah. Pendek kata, ia dilaksanakan dengan “mudah (taysir) dan ringan (takhfif)”. Justeru, syarak menolak pelaksanaan ibadah yang sukar (ta‘sir) dan membuatkan manusia menjauhi daripada hadir berjemaah (tanfir). Hal ini berdasarkan hadis Abu Hurairah ra di bawah.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا…

Daripada Abu Hurairah daripada Nabi saw ia bersabda, “Sesungguhnya Islam agama yang mudah. Justeru, jangan sesiapa melampaui (dalam urusan agama) melainkan kelak ia akan ditewaskan. Oleh itu bersederhanalah, sekiranya tidak mampu maka beramal dengan amalan yang menyamainya dan beritahulah khabar gembira bahawa kekurangan yang berlaku bukan kerana kehendaknya tidak mengurangkan pahalanya.

Justeru, para imam hendaklah mengambil kira maslahat dan kepentingan para jemaah sebelum memulakan sesuatu ibadat solat. Maka atas kebijaksanaan imam sama ada untuk memanjang atau memendekkan sesuatu solat yang ingin/sedang didirikan. Dalam hal ini juga, “mudah” bukan bermaksud mempermudah atau menganggap solat adalah perkara ringan dan tidak penting.

Penting untuk kita maklumi bahawa solat terbaik bukanlah bermaksud ia mesti dilakukan dengan terlalu perlahan dan membaca surah yang terlalu panjang dan membebankan. Rasulullah saw pernah menegur Mu‘az ra setelah beliau memanjangkan bacaan semasa mengimamkan solat fardu (Fathul Bari, 3/77). Malah terdapat beberapa hadith yang menganjurkan supaya meringankan solat fardu yang didirikan dan tidak terdapat satu bab pun dalam kitab-kitab hadith yang menganjurkan perintah yang sebaliknya.

Pelaksanaan solat secara berat dan panjang perlulah mengikut keadaan dan situasi jemaah. Dalam hal ini, garis panduan Kaedah Fekah perlu ditelusuri iaitu, “mengelak keburukan adalah lebih utama daripada melakukan kebaikan”. Justeru, kebaikan yang diperolehi tidak memadai sekiranya sesuatu pelaksanaan itu akan mengakibatkan kesan yang tidak baik kepada masyarakat. Ia juga supaya tidak menjauhkan masyarakat daripada hadir berjemaah. Oleh itu, Rasulullah saw melarang imam memanjangkan bacaan surah berdasarkan riwayat oleh ‘Amru daripada Jabir ra.

عَنْ عَمْرٍو قَالَ سَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: كَانَ مُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ يَرْجِعُ فَيَؤُمُّ قَوْمَهُ فَصَلَّى الْعِشَاءَ فَقَرَأَ بِالْبَقَرَةِ فَانْصَرَفَ الرَّجُلُ فَكَأَنَّ مُعَاذًا تَنَاوَلَ مِنْهُ فَبَلَغَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ فَتَّانٌ فَتَّانٌ فَتَّانٌ ثَلَاثَ مِرَارٍ أَوْ قَالَ فَاتِنًا فَاتِنًا فَاتِنًا وَأَمَرَهُ بِسُورَتَيْنِ مِنْ أَوْسَطِ الْمُفَصَّلِ.

Daripada Amru dari Jabir bin ‘Abdu’Llah bahawa Mu‘az bersolat bersama Nabi saw kemudian pulang bersolat bersama kaumnya. Lalu ia mengimamkan solat Isyak dan membaca surah al-Baqarah. Seorang lelaki berhenti solat sebagai protes terhadap bacaan Mu‘az yang panjang. Sebaik sahaja kejadian ini sampai ke pengetahuan Nabi saw lalu Baginda bersabda, “Penfitnah, penfitnah, penfitnah sebanyak tiga kali.” Lalu Baginda memerintahkannya agar membaca dua surah yang sederhana pendek.

Dalam riwayat yang lain, Anas meriwayatkan bahawa (al-Minhaj Sharh Sahih Muslim, 3-4/409):

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُوْلَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ مِنْ أَخَفِّ النَّاسِ صَلَاةً فِيْ تَمَامٍ.

Daripada Anas, sesungguhnya Rasulullah saw adalah orang yang paling ringan solat dalam kesempurnaan.

Dalam hal ini, imam hendaklah mengambil kira kemampuan golongan yang paling lemah semasa melaksanakan solat tersebut berdasarkan hadis ‘Uthman bin Abi al-‘As yang dikeluarkan oleh Abu Dawud dan al-Nasa’i.

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهُ:  أَنْتَ إِمَامُ قَوْمِك وَأَقْدَرُ الْقَوْمِ بِأَضْعَفِهِمْ.

Daripada ‘Uthman bin Abi al-‘As, sesungguhnya Nabi saw bersabda, “Kamu adalah imam bagi kaummu, maka ukur keupayaan mereka dengan golongan yang paling lemah dalam kalangan mereka.”

Ibn Hajr al-Asqalani dalam hal ini menyatakan bahawa salah satu tujuan Rasulullah saw membaca surah yang panjang dalam solat fardu kerana Baginda saw mengetahui bahawa perbuatan membaca surah yang panjang tidak menyukarkan seorang pun dalam kalangan jemaah itu (Naylul Awtar, 1/527). Oleh itu, jika imam tidak pasti sama ada tindakan membaca surah panjang menyukarkan atau sebaliknya maka ia hendaklah mengambil pendekatan yang paling afdhal iaitu memendekkan bacaan ayat al-Qur’an. Justeru, sekiranya terdapat situasi tertentu seperti terdengar tangisan kanak-kanak maka imam hendaklah memendekkan bacaan. Rasulullah saw bersabda (Fathul Bari, 3/56 ):

عَنْ شَرِيكُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ:  سَمِعْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ: مَا صَلَّيْتُ وَرَاءَ إِمَامٍ قَطُّ أَخَفَّ صَلَاةً وَلَا أَتَمَّ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنْ كَانَ لَيَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَيُخَفِّفُ مَخَافَةَ أَنْ تُفْتَنَ أُمُّهُ.

Daripada Sharik bin ‘Abdu’Llah, ia berkata bahawa aku mendengar Anas bin Malik berkata, “Aku tidak pernah bersolat di belakang imam yang paling ringan dan sempurna berbanding Nabi Muhammad saw. Jika Baginda mendengar tangisan bayi, maka dia akan meringankan solat kerana takut akan menimbulkan fitnah terhadap ibunya.”

Dalam hal ini, para imam perlu menginsafi bahawa solat yang sempurna ialah solat yang berjaya menyatu dan menarik hati para jemaah untuk terus memeriahkan rumah Allah dengan hati yang tenang, selesa dan memudahkan.

‘Umar bin al-Khattab ra juga turut mengingatkan imam supaya mengelak daripada menimbulkan kemarahan para jemaah. Ingatan ‘Umar ini direkodkan oleh al-Bayhaqi dalam al-Sha‘ab dengan isnad yang sahih.

لَا تُبَغِّضُوْا إِلَى اللَّهِ عِبَادَهُ يَكُونُ أَحَدُكُمْ إِمَامًا فَيُطَوِّلُ عَلَى الْقَوْمِ الصَّلَاة َحَتَّى يُبَغِّضَ إِلَيْهِمْ مَا هُمْ فِيْهِ.

“Jangan kamu membuatkan seorang hamba itu rasa marah terhadap Allah dengan sebab tindakan kamu memanjangkan bacaan ketika mengimamkan solat.”

Masalah memberat dan memanjangkan bacaan ini adalah berlainan situasinya jika solat dilakukan sendirian. Menurut al-Dawudi, solat fardu yang dilaksanakan seorang diri diharuskan untuk memanjang bacaan mengikut kemampuan individu tersebut. Hal ini berdasarkan hadis Abu Hurairah ra di bawah.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:  إِذَا أَمَّ أَحَدُكُمْ النَّاسَ فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمْ الصَّغِيرَ وَالْكَبِيرَ وَالضَّعِيفَ وَالْمَرِيضَ فَإِذَا صَلَّى وَحْدَهُ فَلْيُصَلِّ كَيْفَ شَاءَ.

Daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Nabi saw bersabda, “Apabila salah seorang dalam kalangan kamu mengimamkan solat, maka ringankanlah solat (tersebut) kerana dalam jemaah tersebut ada golongan kanak-kanak, orang tua, orang yang lemah dan sakit. Sekiranya kamu bersolat bersendirian maka lakukanlah seperti mana kamu kehendaki.”

Tegahan daripada memanjangkan bacaan ialah supaya dapat mengelak seseorang makmum melarikan diri daripada berjemaah. Jabir ada meriwayatkan bahawa Ubay bin Ka‘ab ra telah mengimamkan solat di Masjid Quba’ dengan bacaan yang panjang sehingga seorang pemuda Ansar bertindak keluar daripada solat. Perbuatan pemuda tersebut mengakibatkan Ubay ra marah. Lalu kedua-duanya menemui Rasulullah saw untuk mengadu peristiwa yang telah berlaku. Peristiwa ini menimbulkan kemarahan Rasulullah saw sehingga kelihatan jelas pada wajahnya. Lalu baginda saw bersabda, “Sesungguhnya dalam kalangan kamu mengakibatkan orang lari, apabila kamu (mengimamkan) solat maka ringankanlah solat. Sesungguhnya di belakang kamu sekalian terdapat orang yang lemah, tua, sakit dan mempunyai urusan”.

Kaedahnya, imam hendaklah memilih surah yang bersesuai untuk dibaca ketika memimpin jemaah. Sebagai panduan, imam boleh mempraktikkan bacaaan seperti yang dinyatakan oleh al-Nawawi dalam kitab al-Adhkar iaitu, surah untuk solat Zuhur dan Subuh hendaklah terdiri daripada surah-surah tuwal al-mufassal, iaitu surah-surah yang terletak pada bahagian akhir mashaf. Untuk lebih spesifik, Ahmad Abdullah Bajur mentakrifkan Surah tuwal al-mufassal ialah surah-surah panjang yang bermula dengan surah al-Hujurat dan berakhir dengan Surah al-Nazi‘at. Dalam pandangan yang lain, ia dikatakan bermula dengan Surah Qaf.

Manakala panduan bacaan untuk surah-surah bagi solat Isyak dan Asar pula ialah daripada surah-surah yang sederhana (awsat al-mufassal), iaitu bermula daripada surah ‘Abasa sehingga al-Layl. Seterusnya, surah-surah untuk solat Maghrib ialah surah-surah pendek (qisar al-mufassal), iaitu bermula daripada Surah al-Duha sehingga al-Nas.

Sebenarnya para ulama’ berbeza pandangan berhubung pembahagian jenis-jenis surah ini. Menurut Fatawa al-Azhar, surah panjang (tuwal al-mufassal) bermula dari Surah Qaf atau al-Hujurat sehingga surah ‘Amma, surah sederhana panjang (awsat al-mufassal) bermula dari surah al-Nazi‘at sehingga Surah al-Duha, manakala surah pendek (qisar al-mufassal) bermla dari Surah al-Inshirah sehingga Surah al-Nas (Kitab Fatawa al-Azhar).

Di samping kaedah memilih surah, Imam al-Nawawi ada memberi akedah lain dalam membaca surah iaitu bagi imam yang bercadang membaca surah atau ayat yang panjang, mereka boleh menggunakan kaedah bacaan al-hadr (cepat) atau kaedah al-tadwir (sederhana). Bagaimanana sekalipun kaedah ini, ia bukanlah bermakna aturan tajwid tidak perlu diikuti dan dilakukan seperti dalam keadaan tergesa-gesa dan kalut. Hal ini kerana Rasulullah saw melarang solat fardu dilaksanakan dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak sempurna.

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنَ شِبْلٍ قَالَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَلَاثٍ عَنْ نَقْرَةِ الْغُرَابِ وَافْتِرَاشِ السَّبُعِ وَأَنْ يُوَطِّنَ الرَّجُلُ الْمَقَامَ لِلصَّلَاةِ كَمَا يُوَطِّنُ الْبَعِيرُ.

Daripada ‘Abdu’l-Rahman bin Shibl, sesungguhnya Rasulullah saw menegah daripada tiga perkara, iaitu meringankan sujud seperti burung mematuk makanan, menghamparkan tangan ketika sujud dan tidak bersolat melainkan tempat pilihannya seperti unta yang tidak berehat (selepas minum air) melainkan pada tempatnya yang pertama.

Kaedah seterusnya ialah memanjangkan bacaan pada rakaat pertama sahaja dan memendekkan bacaan pada rakaat kedua (Al-Nawawi, al-Adhakar, 1988). Langkah ini diaturkan supaya makmum tidak merasa jemu pada rakaat kedua, berbeza dengan pada   rakaat pertama di mana makmum kebiasaannya masih aktif dan cergas (Fathul Bari, 3/141).

Jika dilihat pada sunnah Rasulullah s.a.w., bacaan Baginda sewaktu menjadi imam adalah  bergantung pada keadaan semasa. Rasulullah saw pernah membaca Surah al-Kafirun dan al-Ikhlas semasa solat Maghrib, Surah al-Tin semasa solat Isyak dan surah-surah seperti al-Rum, al-Aa‘raf dan al-Mu’minun sewaktu mengimami solat Subuh. Jelasnya, kadar bacaan semasa solat fardhu berjemaah hendaklah sesuai dengan keadaan sekeliling seperti yang dinyatakan oleh Ibn Qudamah al-Maqdisy (al-Mughni Wa Bihashimihi al-Sharh al-Kabir, 596):

يُطِيْلُ الْقِرَاءَةَ تَارَةً وَيُقْصِرُ بِالْأُخْرَى عَلَى حَسَبِ الْأَحْوَالِ.

Bacaan dipanjangkan dan dipendekkan mengikut keadaan semasa.

As-Sayyid al-Sabiq (2000:147) menyatakan pula bahawa:

التَّقْدِيْرُ بِحَالِ النَّاسِ أَوْلَى  مِنْ  تَقْدِيْرِ الْفَرْدِ  فِيْ  تَطْوِيْلِ الصَّلَاةِ أَوْ تَخْفِيْفِهَا.

Penentuan terbaik berhubung panjang atau pendek bacaan semasa solat perlu merujuk kepada keadaan jemaah berbanding penentuan secara individu.

Jika diamati, pendekatan solat Rasulullah saw adalah bersifat fleksibel dan berdasarkan realiti. Dalam hal ini, para imam hendaklah mengambil iktibar daripada sunnah Rasulullah saw. Perlu diingat, meringankan solat bukan bererti melaksanakan solat dalam keadaan tergesa-gesa. Solat hendaklah sentiasa ditunaikan dalam keadaan tenang dan khusyuk. Menurut al-Nawawi, Rasulullah saw lazimnya melaksanakan solat fardu dengan ringkas kerana ia merupakan kaedah yang paling afdal. Oleh itu, didapati jumlah solat fardu yang Baginda saw tunaikan dengan panjang amat sedikit.

Walaupun syarak memberikan saranan agar meringkaskan bacaan tetapi ia tidak harus dijadikan alasan sehingga ada pihak yang hanya membaca satu ayat pendek dalam satu rakaat seperti membaca (طه) dalam rakaat pertama lalu rukuk. Menurut Abu Bakr Isma‘il (1997, 261), sikap sebegini jika dilakukan memperlihatkan sikap tidak mengambil berat terhadap pelaksanaan solat fardu, menafikan ruh solat dan menolak khusyuk yang dituntut oleh syarak. Jelasnya, kebijaksanaan imam sangat dituntut dalam memahami konteks jemaah dan pelaksanaan ibadat yang hendak dibawa. Begitu juga dalam membaca khutbah ketika hari jumaat atau mengajar kuliah-kuliah asar, maghrib atau subuh. Elakkan daripada menimbulkan fitnah kepada jemaah dan merasa “syok sendiri” dalam menunaikan tuntutan fardu kifayah ini.. Imam tidak boleh terlalu asyik dengan bacaannya tanpa memikirkan keadaan makmum di belakang. WalLahu a’llam.

Advertisements

Read Full Post »

Penyelidikan Ilmiah

Penyelidikan ilmiah ialah satu kaedah siasatan dalam bidang akademik atau teori yang dilakukan secara ilmiah atau berasaskan garis panduan ilmu. Proses siasatan dan kajian ini boleh diukur dan dinilai dengan melihat kepada pertimbangan ilmu dan garis panduan yang diikuti dalam melakukan siasatan tersebut. Apa yang dinyatakan di sini penyelidikan adalah satu kaedah yang tersusun, sistematik atau teratur. Ia bersifat objektif dan bukannya subjektif yang bebas daripada pertimbangan nilai. Dengan lain perkataan, penyelidikan adalah sesuatu yang bersandarkan kepada pertimbangan fakta dan logik pemikiran manusia. Logik pemikiran manusia ini pula dibentuk berdasarkan apa yang ditanggap oleh pancaindera manusia. Justeru, ia mestilah bersifat rasional dan boleh dikemukakan dalam bentuk penjelasan dengan pembuktian yang tepat dan terperinci. Syed Arabi Idid (1993) menyimpulkan kaedah ini sebagai, “….satu tatacara teratur yang hasilnya membolehkan penambahan ilmu pengetahuan. Penyelidikan dilakukan mengikut langkah-langkah tertentu, khusus bagi mendapatkan maklumat serta menjawab persoalan yang dibangkitkan”. Jelasnya, sesebuah penyelidikan mempunyai nilai siasatan yang berkembang daripada andaian dan teori kepada hasil penemuan tertentu. Ia adalah satu proses dan perkembangan sebagaimana dinyatakan:

A research paper is a piece of academic writing that requires a more abstract, critical, and thoughtful level of inquiry than you might be used to. One will gradually pick up that mindset the more he envelop himself in tutorial discussions and lectures at the college level and of course, the more he write. Not just research papers but any paper, period.

Apa yang cuba saya ketengahkan kat sini ialah penyelidikan tidak boleh dimasukkan unsur-unsur peribadi dan emosi. Ini kerana ketelitian dan sistematika sesuatu kajian dilakukan membolehkan sebarang analisis dan dapatan yang boleh dihujahkan kembali dalam landasan ilmu. Saya cukup tidak bersetuju dalam satu korum saya saya hadiri di mana suatu tajuk penyelidikan itu ditolak hanya semata-mata dibimbangi menyebabkan seseorang penulis buku/tokoh itu tidak berpuashati atau marah jika hasil penyelidikan nanti boleh membawa kepada menentangan idea asal individu/tokoh yang dikaji. Ini kerana kita telah memasukkan elemen perasaan, emosi dan peribadi dalam aspek yang diketahui bahawa fakta yang ditemui benar telah dikatakan benar dan fakta yang tercatat sebelumnya adalah salah telah diperbetulkan. Di sini, bidalan “berani kerana benar” dan mafhum nas supaya “berkata benar sekalipun pahit” telah tidak disemai dalam jiwa.  Justeru, di manakah falsafah kesucian sesuatu ilmu perlu diketengahkan jika kita masih ditakuk lama, tradisional dan tidak berkembang mengikut keprofesionalan pencapaian akademik kita. Ungkapan jujur dengan ilmu dan bercakap atas dasar ilmu dan akal ternyata tidak begitu diparktik, atau paling kurang tidak sepenuhnya diamalkan. Bagi saya, ketinggian peribadi dan kehebatan seseorang adalah dikarenakan ilmunya. Penguasaan dan penghayatan ke atas ilmu mesti benar-benar dilakukan dan jangan sentiasa diulit perasaan yang sering menggundahkan orang ramai.

Read Full Post »