Feeds:
Posts
Comments

Archive for March, 2012

Pendahuluan

            Persoalan hak wanita dalam pembahagian harta pusaka sentiasa dibincangkan sama ada dari perspektif Islam, Zaman Jahiliyyah atau Barat. Perbincangan ini menunjukkan keprihatinan masyarakat semasa berhubung hak-hak wanita. Ia juga memaparkan kepentingan dan kedudukan wanita dalam kalangan masyarakat daripada dahulu sehingga sekarang terutama dalam perbincangan pemilikan dan pindahmilik harta. Kedatangan Islam bukan sahaja membawa sinar hidayah, malah turut menjamin hak tertentu kepada wanita. Amalan adat yang sempit dan rigid menyebabkan kaum wanita sering teraniaya. Wanita pada ketika sebelum Islam bukan sahaja dibunuh semasa masih kecil, malah hak pusaka mereka turut dirampas. Sebagai contoh, sebahagian masyarakat Madinah tidak memberikan pusaka kepada kaum wanita khususnya di kalangan kabilah yang kuat berpegang kepada adat seperti Banī Asad dan Banī Tamīm. Oleh kerana itulah, ibu kepada Mihsyām bin Abū Qays al-Aslāt tidak mendapat apa-apa bahagian daripada harta pusaka peninggalan suaminya. al-Zamakhsarī menyatakan;

لا َيرِثُ إِلاﱠ مَنْ طَاعَنَ بِالرﱢماحِ وناَدَ عَنِ الحَوْزَةِ وَحَازَ الغَنِيْمَةَ

كَيْفَ نُعْطِى المَالَ مَنْ لَايَرْكَبَ فَرْسًا وَلايَحْمِلَ سَيْفًا وَلايُقَاتِلَ عَدُوًّا

“Seseorang itu tidak akan mewarisi melainkan mereka yang membawa lembing, menyeru daripada penaklukan dan mendapatkan ghanimah. Bagaimana kami akan memberikan harta (pusaka) kepada mereka (wanita) yang tidak menunggang kuda, memikul senjata atau membunuh musuh?”

Isu utama kaum wanita masyarakat adat ini yang tidak diberikan pusaka apabila mereka tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada kabilah seperti tidak menyertai peperangan Faktor sumbangan kepada kabilah menjadi isu penting pada waktu ini kerana masyarakat primitif Arab sangat mementingkan penguasaan ke ataspadangrumput dan sumber air. Justeru, pencarian dan penguasaan ke atas dua keperluan utama ini menyebabkan kadangkala berlakunya pertelingkahan dan peperangan di antara kabilah. Dalam hal ini, pusaka tidak akan diberikan kepada sesiapa yang tidak membantu mendapatkan atau melindungi sumber dan harta kabilah ini. Justeru, anggota kabilah yang lemah dan tidak berjasa seperti wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua tidak diberikan harta pusaka. Bagaimanapun bukan semua wanita semasa Jahiliyah tidak mewarisi pusaka dan tidak memberi sumbangan seperti tidak terlibat di dalam peperangan. Sebahagian wanita Jahiliyyah juga sebenarnya mendapat pusaka seperti peristiwa Khadijah yang mewarisi harta daripada bapa dan bekas suaminya seperti perniagaan, rumah dan perhiasan wanita. Kaum wanita masyarakat Mekah mendapat separuh daripada bahagian pusaka lelaki. Dalam hal ini, ‘Āmir bin Jasym bin Ghanam bin Ḥabīb bin Ka‘b telah mewariskan pusaka kepada anak lelaki dan perempuannya dengan keadaan waris wanita mendapat separuh daripada lelaki. Wanita juga turut terlibat sama ada sebagai tentera, jururawat atau pemberi semangat. Menurut al-Wāqidī (207H), Hind binti ‘Utba dan Khunās binti Mālik bin al-Mudarrib sebagai contoh turut terlibat di dalam Perang Uhud dan Hunayn. Di samping itu, terdapat beberapa nama lain lagi yang terlibat dalam peperangan seperti ‘Amrā binti ‘Alqamā al-Hārithiyya, Barzah binti Mas‘ūd al-Thaqafī (isteri Ṣafwān bin Umayyah), Nisā’ Syaybān (Perang Yawm dhī Qār), Madhḥaj (Perang Yawm Fīf al-Rīḥ), Sulāfa binti Sa‘d, Umm ‘Umāra Nuṣayba binti Ka‘b al-Māziniyya (Perang ‘Akrabā), ‘Umayyah binti Sa‘d bin Wahāb ibn Asyīm (isteri Abū Ṣufyān) dan Salmā binti Qays. Malah selepas menganuti Islam pun, kaum wanita masih terlibat di dalam peperangan seperti Saidatina ‘Aisyah (m. 63H) yang mengikuti Rasulullah s.a.w memerangi kaum Bani Musṭaliq. Justeru, walaupun sebahagian wanita sebelum Islam turut mendapat pusaka tetapi hak ini tidak tentu dan masih bergantung kepada amalan adat, kepercayaan agama kuno dan kemasukan tamadun luar seperti Rom dan Parsi. Oleh itu, kedatangan Islam telah memberi jaminan yang pasti bahawa wanita berhak mendapat pusaka berasaskan nas-nas yang jelas dan terperinci.

Hak Pusaka Wanita dalam Islam

Dalam meletakkan hak ke atas wanita berhubung harta pusaka, peruntukan nas atau dalil syarak adalah sumber utama perundangan Islam yang perlu dirujuk. Terdapat 3 ayat yang secara mufassal menjelaskan hak pusaka kepada para waris iaitu melalui ayat 11, 12 dan 176 daripada surah al-Nisa’. Nas inimenetapkan pembahagian harta pusaka kepada 5 lelaki dan 5 perempuan iaitu suami, isteri, anak lelaki, anak perempuan, ibu, bapa, saudara lelaki dan saudara perempuan seibu sebapa, serta saudara lelaki dan saudara perempuan seibu. Di samping tiga ayat ini, terdapat 3 ayat yang lain pula yang menerangkan kedudukan ahli waris nasab secara umum (mujmal) iaitu ayat 7 surah al-Nisa’, ayat 75 surah al-Anfal dan ayat 6 surah al-Ahzab. Berdasarkan keseluruhan sumber perundangan Islam iaitu al-Qur’an, al-Hadith, al-Ijmak dan al-Qiyas, disimpulkan terdapat 10 orang waris yang berhak mendapat pusaka daripada kalangan wanita iaitu;

1. Anak Perempuan.
2. Cucu Perempuan(dari anak lelaki hingga kebawah).
3. Ibu.
4. Nenek Sebelah Ibu.
5. Nenek Sebelah Bapa.
6. Saudara Perempua Seibu Sebapa.
7. Saudara Perempuan Sebapa.
8. Saudara Peempuan Seibu.
9. Isteri.
10.Wanita yang memerdekakan hamba.

Hak wanita untuk sama-sama mewarisi bersama dengan waris lelaki termaktub dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Nisa’ ayat 7 yang berbunyi:

لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ

وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَفْرُوضًا

“Orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan wanita pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (ditentukan oleh Allah).”

Al-Qatādah, Ibn Jurayj dan Ibn Zayd menyatakan bahawa ayat ini diturunkan bagi menolak amalan adat Arab Jahiliyah yang hanya memberikan pusaka kepada lelaki dan menyisihkan wanita dan kanak-kanak kerana tidak memberi apa-apa sumbangan kepada kaum. al-Māwardī, al-Qurṭubī dan al-Zamakhsarī pula menyatakan ayat ini diturunkan setelah berlakunya pertelingkahan pembahagian pusaka peninggalan ‘Aws bin Thābit al-Anṣārī. Akibatnya, isteri ‘Aws telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w menuntut bahagian untuknya dan untuk tiga orang anak perempuan mereka. Kesannya, pewahyuan ayat ini telah membawa perubahan ke atas pembahagian pusaka lelaki dan wanita iaitu wanita dan kanak-kanak akan turut mewarisi secara langsung tanpa disyarat memberi sumbangan kepada kaum. Ayat ini dan ayat seterusnya menjadi satu jaminan Syarak berhubung hak pusaka untuk waris wanita yang tidak boleh digugat.

Pusaka Anak Perempuan

            Anak perempuan ialah waris daripada golongan furu‘ kepada si mati. Mereka akan mewarisi secara nisbah anak perempuan mendapat separuh daripada bahagian anak lelaki. Bentuk pembahagian ini dijelaskan dalam ayat 11 daripada surah al-Nisa’ iaitu Allah SWT berfirman:

يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ فَإِنْ كُنَّ نِسَاءً

فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ وَإِنْ كَانَتْ وَاحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu…”

Maksud literal ayat ini bahawa “waris lelaki mendapat dua bahagian waris wanita” (nisbah 2:1) adalah merupakan satu kaedah pokok yang terpakai apabila waris-waris tersebut berada pada peringkat waris yang sama (anak sama anak, cucu sama cucu dsb) . Berdasarkan ayat ini juga, sekiranya anak perempuan mendapat ½ maka cucu perempuan akan memperolehi 1/6 untuk menggenapkan 2/3 bahagian untuk waris perempuan. Bagaimanapun, golongan Syī’ah Imāmiyah tidak mewariskan cucu perempuan bersama anak perempuan dengan menqiyāskan kedudukan cucu lelaki yang terhijāb oleh anak lelaki. Bagaimanapun sekiranya anak perempuan telah menggenapkan bahagian pusaka 2/3, maka Ibn Mas’ūd berpandangan cucu perempuan tidak akan mengambil ‘asabah kerana keadaan ini akan menyebabkan pihak furū’ perempuan akan mengambil lebih daripada apa yang diberikan oleh al-Qur’ān. Menurut otoriti Abū Thaur dan Dāud cucu perempuan tidak akan mendapat apa-apa bahagian apabila anak perempuan mendapat 2/3 bahagian pusaka kerana bahagian untuk waris perempuan telah genap 2/3. Tetapi jumhur seperti saidina ‘Alī dan Zayd memberikan juga bahagian untuk cucu perempuan walaupun anak perempuan sudah mengambil 2/3 pusaka, sekiranya ada bersamanya cucu lelaki dengan memperolehi  ‘asabah dalam nisbah 2:1. Dalam hal ini, Ibn Qudāmah menolak had pewarisan maksima 2/3 kepada waris perempuan berasaskan Rasulullah s.a.w pernah memberikan pusaka kepada seorang anak perempuan, seorang cucu perempuan dan seorang saudara perempuan dengan masing-masing mendapat 1/2, 1/6 dan ‘asabah ma’al ghayrīhī. Keputusan Rasulullah s.a.w dalam kes anak perempuan dan saudara perempuan juga menunjukkan waris perempuan mengambil bukan setakat melampaui 2/3 malah menghabisi keseluruhan pusaka tersebut.

Anak perempuan

1/2

-Jika ia seorang (tiada waris lain)

 

2/3

-Jika lebih daripada 2 (tiada waris lain)

* kadar 2/3 akan dibahagikan sesama mereka.

 

Asobah (asobah bi ghairihi)

-Jika si mati meninggalkan  anak perempuan dan lelaki.

*Anak lelaki mendapat 2 bahagian  dan anak perempuan mendapat 1 bahagian daripada bakian harta pusaka.

*Bahagian setiap orang anak perempuan bersaman dengan ½ bahagian setiap anak lelaki.

 

 

Pusaka Cucu Perempuan

             Cucu perempuan adalah pengganti kepada anak perempuan. Mereka akan mewarisi apabila tiada anak perempuan dan bahagiannya adalah sebagaimana berikut;

Cucu perempuan (daripada anak lelaki)

1/2

-Jika ia seorang sahaja (tiada waris lain)

 

2/3

-Jika lebih daripada 2 orang

*(tiada waris lain seperti anak lelaki,anak perempuan atau cucu lelaki daripada anak lelaki)

 

Asobah (asobah bi ghairihi)

-Jika si mati meninggalkan cucu perempuan cucu dan cucu lelaki.

*Cucu lelaki mendapat 2 bahagian  dan cucu perempuan mendapat 1 bahagian daripada bakian harta pusaka.

*Bahagian setiap orang cucu perempuan bersaman dengan ½ bahagian setiap cucu lelaki.

 

 

1/6

-Jika si mati meninggalkan seorang anak perempuan dan cucu perempuan daripada anak lelaki.

*Anak perempuan mendapat ½ dan cucu perempuan mendapat 1/6.

*Tetapi jika ada cucu lelaki, cucu perempuan menjadi asobah.

 

Terdinding

-Dengan 2 orang anak perempuan si mati.atau

Dengan anak lelaki si mati.

Pusaka Isteri

Hak isteri untuk mendapat pusaka termaktub dalam ayat 12 daripada surah al-Nisa’ sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُنَّ وَلَدٌ فَإِنْ كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ الرُّبُع

ُ مِمَّا تَرَكْنَ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِينَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ

 لَكُمْ وَلَدٌ فَإِنْ كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُمْ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ

“Dan bagi kamu seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh seperempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula seperempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu

Ayat ini diturunkan kerana saudara lelaki kepada Sa‘d iaitu ‘Abd al-Rahmān bin ‘Awf telah mengambil kesemua harta pusaka dan tidak memberikan bahagian untuk isteri dan dua orang anak perempuan Sa‘d. Ini menyebabkan Ummu Ḥabībah (isteri Sa‘d) telah membuat aduan dan menuntut haknya di hadapan Rasulullah s.a.w. Sekiranya si mati meninggalkan lebih daripada seorang isteri (poligami), maka hak pusaka sama ada ¼ atau 1/8 akan diwarisi secara berkongsi. Dalam ayat ini, formula “waris lelaki mendapat dua bahagian waris wanita” juga terpakai. Para ulamak mengulas, kepentingan lelaki dalam ayat ini boleh dilihat berdasarkan perbezaan kata ganti diri yang digunakan iaitu kata diri kedua telah digunakan kepada lelaki (لكم), berbanding kata ganti diri ketiga digunakan untuk wanita (لهن). Kata ganti nama lelaki juga telah disebut lebih banyak iaitu sebanyak tujuh kali berbanding kata ganti nama wanita yang disebut sebanyak lima kali sahaja. Berdasarkan perbezaan ini, al-Qasimi menyatakan bahawa ayat ini memperlihatkan keutamaan waris lelaki berbanding wanita dan kerana itu “waris lelaki mendapat dua bahagian waris wanita”. Bagaimanapun dari sudut sebaliknya, fokas kepada lelaki di sini boleh juga kita disimpulkan sebagai bertujuan untuk memberi peringatan bahawa waris lelaki kebiasaannya akan menyeleweng daripada membahagikan pusaka secara adil seperti yang telah dilakukan oleh saudara lelaki Sa‘d bin al-Rabī‘ al-Anṣārī.

Isteri

1/4

-Jika si mati (suami) tidak meninggalkan anak atau cucu

 

1/8

-Jika si mati (suami) meninggalkan isteri dan anak atau cucu daripada anak lelaki

Pusaka Saudara Perempuan

Bahagian saudara perempuan berhak untuk pusaka pula dapat diketahui melalui ayat 176 surah al-Nisa’. Bahagian mereka adalah sebanding dengan bahagian anak perempuan bersama anak lelaki iaitu berdasarkan formula 2:1.  Allah SWT berfirman:

وَإِنْ كَانُوا إِخْوَةً رِجَالًا وَنِسَاءً فَلِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ

 يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ أَنْ تَضِلُّوا وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

“Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan wanita, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang wanita.” Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Manakala bahagian saudara perempuan seibu ada sedikit kelainan apabila mereka mendapat satu perenam secara sama banyak dengan saudara lelaki seibu (apabila bilangan mereka seorang), dan diberikan satu pertiga secara sama banyak (apabila bilangan mereka lebih daripada seorang). Pembahagian ini adalah satu pengecualian daripada formula 2:1 sebelum ini. Firman Allah SWT dalam ayat 12 surah al-Nisa’:

وَإِنْ كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ

مِنْهُمَا السُّدُسُ فَإِنْ كَانُوا أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ

Dan jika si mati yang mewarisi itu, lelaki atau wanita, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu), maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah seperenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada sepertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan wanita)

Walau bagaimanapun, mengikut pandangan terkecil daripada Ibn ‘Abbās ada menyatakan bahawa saudara seibu tidak dibahagikan sama rata tetapi turut menerima pembahagian dalam nisbah 2:1 juga di antara waris lelaki dan wanita. Namun, pandangan ini tidak berotoriti kerana ia bersalahan dengan maksud zahir nas dan ijmak ulamak. Bentuk pembahagian pusaka saudara perempuan adalah sebagaimana berikut;

Saudara perempuan dan lelaki (seibu)

1/6

– Jika ia seorang (tiada waris lain)

 

1/3

– Jika lebih daripada 2 orang (tiada waris lain)

 

Terdinding

-Dengan anak atau cucu dari anak lelaki si mati atau,

Dengan bapa atau,

Dengan datuk

Saudara perempuan (seibu dan sebapa)

1/2

-Jika ia seorang (tiada waris lain)

 

2/3

-Jika lebih daripada 2 orang (tiada waris lain)

 

Asobah (asobah bi ghairihi)

– Jika si mati meninggalkan saudara perempuan dan lelaki (seibu dan sebapa).

 

Asobah (asobah ma a ghairihi)

-Jika si mati meninggalkan saudara perempuan (seibu dan sebapa) dan anak perempuan atau cucu perempuan daripada anak lelaki.

 

Terdinding

-Dengan anak lelaki atau cucu lelaki daripada anak lelaki si mati, atau

-Dengan bapa atau

-Dengan datuk

Saudara perempuan (sebapa)

1/2

-Jika ia seorang (tiada waris lain)

 

2/3

-Jika lebih daripada 2 orang (tiada waris lain)

 

1/6

-Jika si mati meninggalkan saudara perempuan (sebapa) dan seorang saudara perempuan (seibu dan sebapa),

 

Asobah (asobah bi ghairihi)

– Jika si mati meninggalkan saudara perempuan dan saudara lelaki (sebapa).

 

Asobah (asobah ma a ghairihi)

-Jika si mati meninggalkan saudara perempuan (sebapa) dan  anak perempuan atau cucu perempuan daripada anak lelaki.

 

Terdinding

-Dengan anak lelaki atau

-Dengan cucu lelaki daripada anak lelaki  atau

-Dengan bapa atau

-Dengan 2 orang saudara perempuan seibu dan sebapa  si mati.,atau

-Dengan saudara perempuan seibu dan sebapa si mati atau

-Dengan saudara lelaki seibu dan sebapa si mati.

Pusaka Ibu

Hak pusaka ibu ialah sama ada satu perenam atau satu pertiga. Dalam sesetengah keadaan, para ulamak memberikan ibu satu pertiga daripada baki untuk mematuhi formula 2:1 apabila mewarisi bergandingan dengan bapa. Allah SWT berfirman:

وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِنْ كَانَ لَهُ وَلَدٌ

Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak

Ayat ini menjadi pengecualian kepada formula 2:1 dan dalam hal ini, ibu bapa diberikan bahagian yang sama banyak iaitu satu perenam ketika si mati mempunyai anak. Tetapi sekiranya si mati tiada anak, maka ibu akan mendapat satu pertiga. Jika mempunyai saudara maka satu perenam. Firman Allah SWT dalam ayat 11 surah al-Nisa’

فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ فَإِنْ كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ

“Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang hanya mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam.

Secara lebih jelas, hak pusaka ibu adalah sebagaimana berikut;

Ibu

1/6

-Jika si mati meninggalkan ibu ,bapa, anak atau cucu daripada anak lelaki

 

1/6

-Jika si mati meninggalkan ibu dan lebih daripada dua orang saudara lelaki dan perempuan (seibu sebapa/sebapa/seibu)

 

1/3

-Jika si mati tidak mempunyai anak atau cucu daripada anak lelaki atau lebih daripada dua orang saudara lelaki dan perempuan (seibu sebapa/sebapa/seibu)

 

1/3 daripada baki pusaka (setelah ditolak bahagian isteri dan datuk jika ada)

-Jika si mati meninggalkan isteri dan ibu sahaja, atau

Jika si mati (suami) meninggalkan isteri, ibu dan bapa.

*Tetapi, jika bapa telah tiada dan terdapat datuk bersama dengan isteri atau suami si mati, ibu hanya mendapat 1/3 daripada harta pusaka.

*Datuk si mati mendapat bakian harta yang tinggal.

 

1/3 daripada bakian harta pusaka (setelah ditolak bahagian suami dan bapa)

-Jika si mati (isteri) hanya meninggalkan bapa ,ibu dan suami.

  

Pusaka Nenek

Nenek adalah pengganti kepada pusaka ibu. Oleh kerana itu, ulamā berijmak bahawa nenek (ibu-ibu) terhijāb dengan ibu kerana mereka hanya pengganti kepada ibu dengan mendapat bahagian pusaka sebanyak satu perenam (1/6). Menurut Ibn Rusyd, ibu-ibu akan terhijāb dengan ibu dan ibu-bapa akan terhijāb dengan bapa. Ulamā sepakat bahawa bahagian satu perenam untuk nenek adalah seperti bahagian seorang isteri iaitu mereka akan berkongsi pusaka sekiranya lebih daripada seorang. Keputusan ini berdasarkan penghakiman Abū Bakar terhadap tuntutan dua orang nenek. Jelasnya, bahagian pusaka nenek boleh dilihat sebagaimana jadual berikut;

Nama Waris

Bahagian

Keterangan bagi ahli waris yang berhak

Nenek

1/6

-Jika si mati meninggalkan nenek seorang (sebelah bapa atau ibu)

*Jika ramai nenek, kadar 1/6 akan dibahagikan sesama mereka.

 

Terdinding

-Dengan ibu si mati (sama ada nenek sebelah ibu atau sebelah bapa).

-Bagi nenek sebelah bapa terdinding dengan bapa si mati tetapi nenek sebelah ibu tidak terdinding dengan bapa

*Nenek tidak mendapat apa-apa.

Berdasarkan jadual ini, selain daripada dua golongan waris yang dikecualikan sebagaimana dinyatakan, kesemua mereka adalah tertakluk kepada formula “waris lelaki mendapat dua bahagian waris wanita”. Bagi tujuan memudahkan penelitian formula ini, berikut ialah jadual ringkas nisbah pembahagian hak pusaka waris lelaki dan wanita.

Jenis Waris

Bhgn. Lelaki (2)

Bhgn. Wanita (1)

Keadaan

Suami/isteri

1/2

 

1/4

 

Tiada anak

 

 

1/4

1/8

Adaanak

Datuk/nenek

1/3

1/6

Lebih daripada 2 orang saudara

Anak Lelaki/perempuan

Asabah (1)

1/2

Seorang

Saudara kandung atau sebapa/seibu

2/3

1/3

Lebih daripada 2 orang

Ummariyatān

1/2

1/4

AdaIsteri

(Bapa/ibu)

1/3

1/6

Adasuami

Berasaskan konsep yang tidak mutlak ini, juga telah timbulnya persoalan di dalam masalah ‘Ummariyyatān iaitu apakah asas yang dipegang oleh mereka yang memberikan bahagian bapa mengatasi ibu dalam nisbah 2:1, sedangkan terdapatnya keadaan ibu mendapat bahagian yang sama banyak dengan bapa. Justeru, kewujudan nas yang memberikan bahagian yang sama rata menunjukkan mereka dalam keadaan yang tertentu boleh berada pada satu tahap yang sama dan keutamaan bapa ke atas ibu bukanlah mutlak. Tambahan pula tiada nas yang menyatakan bapa sentiasa mengatasi ibu dan sebaliknya.  Kewujudan zahir nas Syarak yang menyatakan ibu berhak mendapat 1/3 daripada pusaka berbanding bapa yang menerima ‘asabah menunjukkan ibu boleh mengatasi bahagian pusaka bapa atau dengan kata lain, waris perempuan dalam sesetengah keadaan boleh mengatasi waris lelaki. Jelaslah bahawa wanita mendapat hak keistimewaan dalam Islam. Hak pusaka wanita diiktiraf secara tersurat dan terjamin melalui bahagian fardu. Terdapat 8 daripada 11 waris yang menerima secara fardu adalah wanita sedangkan kebanyakan waris lelaki adalah penerima ‘asabah. Kelebihan penerima fardu adalah waris akan tetap mewarisi sedangkan penerima ‘asabah mewarisi daripada baki harta dan kemungkinan mereka tidak sempat mewarisi kerana harta pusaka telah habis dibahagikan. Pun begitu, dalam sesetengah keadaan wanita juga akan menerima bahagian pusaka secara ‘asabah iaitu mereka akan mewarisi bersama-sama dengan waris lelaki yang setaraf melalui ‘asabah bighairihi dan mewarisi dalam sesetengah keadaan mewarisi bersama waris wanita lain melalui ‘asabah ma’a ghairihi. Bentuk dan kaedah pewarisan wanita ini menunjukkan kecaknaan Islam kepada wanita khususnya bagi menjamin kebajikan dan masa depan mereka berbanding waris lelaki yang lain. Berikut ialah rajah yang menunjukkan waris-waris dari kalangan wanita dan lelaki mengikut keutamaan;

Jaminan Islam kepada Hak Pusaka Wanita

Perlu diketahui, hak pusaka dan pemilikan ke atas harta diberikan Islam kepada wanita lebih awal daripada apa yang berlaku di Barat. Berdasarkan the Encyclopaedia Americana, Undang-undang Common law Inggeris yang awal memperuntukkan bahawa kesemua harta yang dimiliki oleh seseorang wanita sebelum berkahwin akan bertukar menjadi harta suami setelah mereka berkahwin. Suami mempunyai hak ke atas hasil sewaan ke atas hartanah milik isterinya dan segala manfaat yang diperolehi daripadanya. Di Eropah, hanya sekitar tahun 1870-an barulah undang-undang ini mula dipinda dan wanita dibenar memiliki harta sama ada secara pusaka, wasiat atau kontrak. Perancis pula sehingga tahun 1938 baru meminda undang-undang lama ini. Sedangkan Islam telah mempunyai undang-undang dan perakuan khusus bahawa wanita mempunyai hak kehartaan sejak kedatangan Islam lagi kira-kira tahun 670M.

Pada zaman moden dan serba maju kini, Islam telah diserang dengan ideologi dan prinsip songsang seperti gerakan emansipasi wanita yang menuntut hak yang sama rata di antara lelaki dan wanita. Dalam hal ini, hukum pusaka Islam telah diserang apabila memberi wanita pusaka yang kurang daripada lelaki. Alasan mereka wanita sudah maju dan mampu berdiri sama tinggi serta duduk sama rendah dengan lelaki. Oleh itu, golongan-golongan feminisme ini mendakwa hukum Islam tidak adil iaitu berat sebelah. Perlu diketahui bahawa keadilan dalam Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukan bermaksud sama rata atau beri sama banyak. Justeru, walaupun wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi hakikatnya harta pusaka yang diterima itu akan menjadi hak milik peibadi seseorang wanita sepenuhnya. Mereka tidak perlu menyerahkannya kepada suami atau anak-anaknya, sedangkan lelaki menerima pusaka bukan hanya untuk dirinya tetapi juga perlu menggunakan harta tersebut sebagai nafkah untuk isteri dan anak-anaknya. Ini menunjukkan hikmah yang terlepas pandangan oleh mereka yang berfahaman sekular yang cuba memburukkan Islam. Padahal Islam mempunyai sistem yang utuh dan tersusun yang sukar diketahui bagi mereka yang berfikiran cetek dan dangkal. Dalam hal ini orang Islam tidak menentukan sendiri hak-hak kemanusiaan mereka tetapi semuanya diketahui melalui petunjuk Allah dalam Al-Qur’an dan Hadis. Sesungguhnya hak dari Allah yang paling tepat, yang akan mendatangkan kebaikan bagi individu dan masyarakat dalam kehidupan dunia. Allah SWT ada berfirman dalam ayat 216 surah al-Baqarah yang bermaksud : “(Dan) mungkin kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan mungkin kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”.

(Disesuaikan daripada artikel asal Jasni bin Sulong, “Kedudukan Wanita dalam Pembahagian Pusaka”, Jurnal Syariah 14 (2006): 121-143)

Advertisements

Read Full Post »