Feeds:
Posts
Comments

Archive for August, 2009

Isu Sebat pada Kartika.

Pada hari ini, isu yang paling panas rasanya ialah isu hukuman sebatan yang dijatuhkan oleh Hakim Abdul Rahman Yunus kerana kesalahan Kartika meminum arak.  Menariknya dalam isu ini, ia menjadi ‘hangat dan panas’ bukan kerana perbuatan meminum arak itu, tapi kerana hukuman 6 sebatan itu. Seolah-olah hukuman itu menampakkan zalim dan kejam ke atas wanita. Sedangkan jika diperhatikan, hukuman ini selaras dengan peruntukan Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987, iaitu mahkamah mempunyai bidang kuasa menjatuhkan hukuman ke atas pesalah yang melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan, iaitu dengan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun dan disebat tidak melebihi 6 sebatan.

Tindakan ‘ngauman’ ini menunjukkan campurtangan yang jelas dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah di Malaysia. Nampaknya, sekali lagi pihak terlibat khususnya daripada sebelah sivil tidak memahami tujuan pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. Kuasa hakim untuk menjatuhkan hukuman sepatutnya tidak dipertikaikan. Ini boleh membawa kepada penghinaan kepada Mahkamah. Tetapi kerana kes berlaku di Mahkamah Syariah, maka isu penghinaan ini tidak ditimbulkan langsung. Jika nak dihitung, Mahkamah Syariah hanya memiliki bidangkuasa yang sangat kecil di mana hakim-hakimnya hanya boleh menjatuhkan hukuman sehingga maksimum penjara 3 tahun, denda RM5000 dan sebatan 6 kali. Itu sahaja. Bidangkuasa ini bukan sahaja tidak menyamai hukuman jenayah dalam Islam, malah sangat kecil berbanding kuasa Mahkamah Majistret. Ini memperlihatkan ‘pelik’nya isu yang sedang hangat kini.

Suara-suara yang menentang kebanyakan muncul daripada kalangan pemimpin politik. Tidak diketahui sama ada mereka kasihan pada Kartika, atau mereka takut pada 6 sebatan tersebut. Yang pasti, Islam melarang keras sifat belas kasihan dalam menjatuhkan hukuman dan ke atas hukuman yang diputuskan (Surah al-Nur: 52). Apatah lagi jika takut pada hukuman yang tidak seberapa itu. All in all, apa nak jadi dengan sesetengah pemimpin kita pada hari ini? Mudah menggelabah pada persepsi dunia luar. Hukuman ini jelas berpandukan pada undang-undang yang diluluskan oleh Tuanku al-Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri.  Sepatutnya perkara ini tidak menimbulkan persoalan, melainkan ada pemimpin politik yang berada dalam Dewan Undangan Negeri dulu tidak menyangka peruntukan ini tidak sepatutnya ‘dimasukkan’. Jika demikian, kenapa tidak dibahaskan ketika itu, atau pakai lulus sahaja. Ini isu yang patut dihighlightkan.Walaupun ini adalah kesalahan pertama, hukumannya hanyalah picisan yang tidak menggoyahkan pun daripada hukuman asal. Tabik hurmat pada Kartika yang bersedia menerima hukuman dengan reda dan insaf tanpa cuba menegakkan kekhilafan yang dilakukannya terdahulu. Tapi, ironinya…orang lain pula yang terlebih sudu daripada kuah.

Lagi satu, di mana zalimnya? Jika pengedar dadah tanpa mengira lelaki dan wanita boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati, inikan hanya sebatan yang belum tentu bagaimana nak dilaksanakan.Teriakan dan gesaan daripada ‘orang lain’ supaya Kartika merayu juga menunjukkan kejahilan ramai pihak ke atas prosedur dan sifat undang-undang Islam dan kebebasan seseorang mukallaf. Ini belum lagi menyentuh hukuman qisas yang boleh dimaaf. Tentu besar kesannya jika sesebuah wali si mati tidak mahu memaafkan pembunuh anaknya (jika berlaku), kerana pihak-pihak yang tak berkenaan cuba menjadi pembela tak bergaji.

Apa yang penting juga, pendedahan mengenai ketiadaan tukang sebat dan juga ketiadaan jawatankuasa rayuan  syariah adalah satu kekurangan yang tidak sepatutnya berlaku. Ia menampakkan keprhatinan yang kurang daripada pihak berkuasa mengenai isu syariah berbanding isu sivil. Ia juga mendedahkan sejauhmana persediaan Kerajaan dalam melaksanakan hukum syariah di Mahkamah Syariah. Sewajarnya setiap pihak berganding bahu dalam mendaulatkan syiar Islam ini yang sudah hampir pupus apabila dunia melihat undang-undang jenayah Islam sebagai kejam. Sebenarnya, itulah tujuan dan hikmah hukuman iaitu kejam agar kesalahan jenayah tidak berulang. At least, bagi support bagi menunjukkan komitmen keislaman kita dalam memerangi maksiat yang berleluasa di luar sana. Malangnya, tidak ramai yang tampil mahu menjadi jaguh sebagaimana para salafussoleh dahulu. Inilah ukuran dan hadiah hari kemerdekaan yang ke 52 yang bakal menyusul beberapa hari lagi, di mana dah lama kita merdeka tetapi sebenarnya tanpa disedari kita masih sangat kuat dijajah oleh minda jahiliyyah. Bagilah peluang kepada pihak Mahkamah Syariah dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia menyelesaikan isu ini dengan bijaksana, tanpa perlu ada tangan-tangan luar yang cuba mengajar. Kita telah mempunyai pakar dan melantiknya di tempat yang sebenar, tapi pada masa yang sama kita masih cuba memberitahu mereka apa yang sepatutnya mereka buat. Inilah kesilapan kita.

Read Full Post »