Feeds:
Posts
Comments

Archive for September, 2009

DUIT RAYA…DUIT RAYA…

Dalam 10 hari lagi lebih kurang, umat Islam akan berhari raya, dan pada masa kini semua yang berkemampuan sedang berkira-kira untuk menukar duit raya untuk dibahagikan kepada kanak-kanak, anak saudara (khususnya yang belum bekerja) dan orang-orang tua. Persoalannya, apakah hukum memberi ‘duit raya’ ini? Adakah harus atau haram? Ini kerana ia dikatakan menyerupai budaya kaum Tionghua yang memberikan ‘angpaw’.

Untuk meneliti hakikat hukum ini, marilah kita lihat kepada beberapa aspek yang boleh kita ringkaskan sebagaimana berikut;
1. Peniruan budaya Tionghua. Jika peniruan ini yang dijadikan persoalan, maka kita perlu lihat sama ada amalan ini berbentuk amalan keagamaan (akidah) atau amalan budaya semata-mata (tradisi). Jika keagamaan maka haram kita mengikutinya, tetapi jika budaya, maka ia tertakluk kepada aspek-aspek lain seperti melibatkan aspek-aspek yang diharamkan Islam. Sepintas lalu, jauh sekali jika kita nak kaitkan amalan ini sebagai sebahagian daripada ajaran agama keakidahan. Maka, ia lebih kepada budaya yang mengharapkan rezeki atau kekayaan melimpah ruah apabila sikap suka memberi diamalkan. Dalam hal ini, tiada apa yang membataskan kepada umat Islam untuk bertingkah laku sedemikian. Ini kerana kita banyak mewarisi budaya dan amalan masyarakat silam dan dalam hal ini apa yang haram ialah apa yang telah diharamkan dengan jelas dalam nas. Begitulah semasa kedatangan Islam, beberapa budaya Arab Jahiliyyah yang tidak bercanggah dengan nas syarak masih terus diamal dan dipraktikkan. Dalam hadis, Nabi SAW menerangkan setiap awal pagi, ketika terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru, “Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan harta kepada Allah.” Yang satu lagi menyeru, “Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek).”
2. Asal hukum dalam Islam. Dalam Islam, setiap urusan kehidupan/muamalah manusia pada asalnya harus dilakukan melainkan ada nas yang mengharamkannya. Jika meniru semata-mata tidaklah terus membawa kepada hukum haram, melainkan melibatkan pembaziran, melahirkan rasa ujub dan riak, merosakkan hubungan sosial, memecahbelahkan keluarga dan sebagainya. Dalam hal ini, seorang pemilik harta bebas memberikan hartanya kepada sesiapa sahaja hatta orang luar dan orang bukan Islam sekalipun. Sebab itu, dalam hukum wasiat, seorang Islam harus mewasiat kepada orang bukan Islam, jiran sebelah rumah atau sesiapa sahaja. Pendeknya, pemilik harta bebas menguruskan harta dan wang ringgitnya di bawah konsep ‘kebebasan tasarruf’ ke atas harta yang dimiliki.
3. Amalan sedekah. Adakah amalan pemberian ‘duit raya’ ni boleh diletakkan di bawah konsep sedekah? Jawabnya, tentu sekali pemberian ini mirip kepada sedekah yang bermaksud “suatu pemberian yang diberikan oleh seorang muslim kepada orang lain secara spontan dan sukarela tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu. Pemberian yang diberikan ini adalah sebagai kebajikan yang mengharap rida Allah SWT dan pahala semata. Firman Allah SWT:”Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat ma’ruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian karena mencari keridhaan Allah, maka kelak Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar.” (QS An Nisaa [4]: 114). Dalam hal ini, pemberian ‘duit raya’ dibataskan dengan waktu iaitu semasa menyambut aidilfitri. Bolehkah? Harus selagi pemberi duit raya tidak menyatakan ‘wajib ke atasnya’ hanya pada waktu tersebut. Ia terpulang kepada keikhlasan pemberi tersebut dan tidak menganggap adat tersebut sebagai satu hukum ke atasnya yang wajib ditunaikan.
4. Adakah sedekah melibatkan orang-orang miskin sahaja atau boleh diberikan kepada sesiapa sahaja? Sedekah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja walaupun mereka yang kaya. Hukum memberi kepada yang kaya bagaimanapun adalah makruh. Sedekah menjadi haram apabila seseorang yang bersedekah mengetahui pasti bahwa orang yang bakal menerima sedekah tersebut akan menggunakan harta sedekah untuk kemaksiatan. Manakala sangat dituntut dan wajib bersedekah kepada yang miskin, kelaparan sehingga tiada punca rezeki yang boleh mengancam keselamatan jiwanya. Dalam hal ini elakkan daripada bakhil. Menginfaqkan (belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: “Takutilah api neraka walaupun dengan sebiji tamar.” Dan sabdanya lagi: “Sedekah itu penghapus dosa seperti air memadam api.”
5. Sedekah secara sembunyi. Sememangnya sedekah dituntut agar dilakukan secara rahsia atau sembunyi-sembunyi untuk mengelak fitnah dan rasa ujub dan riak. Ini selaras dengan mafhum hadith Baginda saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang antara lain bermaksud “salah satu kelompok hamba Allah SWT yang mendapat naungan-Nya di hari kiamat kelak adalah seseorang yang memberi sedekah dengan tangan kanannya lalu ia sembunyikan seakan-akan tangan kirinya tidak tahu apa yang telah diberikan oleh tangan kanannya tersebut”. Pahala sedekah akan lenyap bila si pemberi selalu menyebut-nyebut sedekah yang telah ia berikan atau menyakiti perasaan si penerima. Hal ini ditegaskan Allah SWT dalam firman-Nya yang berarti: ”Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan si penerima.” (QS Al Baqarah [2]: 264)
6. Bolehkah diberi sedekah kepada kaum kerabat? Sedekah lebih utama diberikan kepada kaum kerabat atau sanak saudara terdekat sebelum diberikan kepada orang lain. Ini selaras dengan memelihara keluarga daripada keadaan meminta-minta dan mencukupkan keperluan keluarga terdekat dahulu. Kemudian barulah diberikan kepada orang lain. Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT yang artinya; ”Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaktian (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebagian harta yang kamu cintai…” (QS Ali Imran [3]: 92

 

Justeru, tidak syak lagi pemberi ‘duit raya’ tidaklah menyalahi syariat Islam pada umumnya. Ia bergantung kepada niat pemberi duit raya dan kemampuan mereka dalam menggembirakan ahli keluarga dan sanak saudara serta handai taulan terdekat. Pemberian ‘duit raya’ setahun sekali ini bukan sahaja memberikan duit simpanan kepada kanak-kanak untuk mereka menggunakan ‘pemberian’ tersebut untuk kegunaan peribadi seperti membeli buku-buku, malah menggalakkan budaya bersedekah dalam masyarakat. Yang penting, elakkan perlumbaan dalam memberi nilai yang tertentu hingga menimbulkan rasa riak dan ujub. Haram juga mengutuk dan mengeji sesiapa yang tidak mahu bersedekah ala ‘duit raya’ jika mereka benar-benar tidak berkemampuan. Ala kulli hal, nawaitu pemberi duit raya perlu la ikhlas untuk mendekatkan diri kepada Allah di samping menggembirakan sanak keluarga.

Read Full Post »