Tidak semua waris si mati adalah waris yang sahih untuk menerima harta pusaka. terminologi waris yang sahih ialah waris yang bukan sahaja berhak ke atas harta pusaka, malah terjamin mewarisi harta pusaka pada akhir pembahagian. Ini kerana dalam pertembungan untuk mewarisi sesuatu harta pusaka, ada sesetengah waris yang pada teorinya berhak mewarisi, tetapi pada hakikatnya selepas pembahagian dilakukan, waris tersebut tidak menerima apa-apa bahagian pusaka. Keadaan ini berlaku khususnya pada waris ‘asabah yang menerima baki daripada harta pusaka, di mana setelah dibahagikan bahagian kepada setiap waris fardu, tiada lagi lebihan untuk waris ‘asabah. Jelasnya, waris fardu telah menghabiskan semua harta yang ditinggalkan kerana mereka diutamakan untuk menerima pembahagian pusaka terlebih dahulu, sesuai sebagai waris yang mengambil kadar pusaka secara tetap. Keadaan yang sama boleh berlaku pada waris fardu yang lain juga, iaitu sekiranya ada waris fardu yang lebih kuat turut mewarisi. Maka waris fardu yang kedudukannya lebih jauh dengan si mati akan terhijab daripada mewarisi. Misalnya, dalam pertembungan antara datuk dan saudara lelaki seibu, maka datuk akan menghijab saudara lelaki seibu tersebut, kerana kedudukan datuk yang lebih kuat sebagai waris usul (keturunan ke atas) berbanding saudara lelaki yang menjadi waris hawasyi (keturunan sisi). Ini menjadi datuk adalah waris yang sahih dalam kes pewarisan ini.
Daripada sudut yang lain, kesahihan seseorang waris adalah berdasarkan susur-galur keturunan lelaki, di mana waris daripada keturunan lelaki sentiasa diutamakan untuk mewarisi. Keutamaan dan kesahihan ini adalah bersandar pada perkataan “lelaki” atau dalam lafaznya, “rajul” digunakan bersama dengan frasa “zakarin” (juga bermakna lelaki) dalam hadis yang berbunyi, “ألحقوا الفرائض بأهلها فما بقي فلأولى رجل ذكر” yang bermaksud, “berikanlah harta pusaka kepada warisnya yang berhak, dan selebihnya dengan mengutamakan waris lelaki”. Penggunaan dua perkataan yang merujuk pada maksud “lelaki” menunjukkan keutamaan keturunan ini. Keutamaan ini turut dinyatakan dalam al-Quran yang menetapkan waris lelaki mendapat dua kali ganda bahagian pusaka daripada waris perempuan (للذكر مثل حظ الأنثيين). Jelasnya, kekuatan waris lelaki menjadikan waris yang dihubungkan oleh mereka dan atau perhubungan waris yang tidak diselangi oleh waris perempuan adalah merupakan waris yang “utama” dan “sahih”.
Kewujudan waris lelaki dan jalinannya antara hubungan sesama waris menjadi tanda aras waris yang “sahih”. Termasuklah dalam hal ini waris yang diganti, di mana jantina waris yang diganti menentukan kesahihan seseorang waris yang mengganti. Misalnya, cucu menjadi waris ganti kepada anak lelaki dan anak perempuan. Penggantian cucu kepada anak lelaki lebih kuat daripada penggantian cucu kepada anak perempuan, kerana jantina waris yang diganti yang berbeza. Justeru, kesahihan pewarisan seseorang cucu sangat bergantung pada waris yang digantikannya, atau dengan kata lain melihat kepada waris penghubung. Justeru, sahih atau tidak seseorang waris itu bergantung pada kewujudan waris penghubung tersebut. Misalan yang lain ialah pewarisan antara datuk daripada sebelah lelaki, iaitu bapa kepada bapa, dan datuk daripada sebelah perempuan, iaitu bapa kepada ibu. Dalam kes ini, datuk yang menjadi bapa kepada bapa adalah lebih diutamakan untuk pewarisan harta pusaka dan disebut dengan istilah “datuk yang sahih” (الحد الصحيح). Berdasarkan perbincangan di atas, waris yang sahih adalah waris yang layak dan berhak untuk mewarisi.
Dalam perspektif yang lebih besar bagi menentukan kesahihan keutamaan ini, waris yang berpunca daripada gabungan susur-galur keturunan daripada kedua-dua belah pihak iaitu lelaki dan perempuan, adalah lebih diutamakan daripada waris yang berpunca daripada satu pihak sahaja iaitu sama ada lelaki atau perempuan. Dalam ayat yang lain, waris yang berasal daripada ibu dan bapa yang sama (seibu sebapa) adalah lebih kuat daripada waris yang berasal daripada bapa yang sama sahaja. Begitulah bagi waris yang mempunyai bapa yang sama (sebapa), mereka adalah lebih kuat daripada waris yang mempunyai ibu yang sama (seibu). Keutamaan ini adalah merujuk kepada darjah dan qarabah antara waris yang masih hidup dengan si mati. Darjah ialah hubungan jauh atau dekat, manakala qarabah pula ialah hubungan seibu sebapa, sebapa atau seibu. Teori darjah dan qarabah ini yang juga menentukan kesahihan seseorang waris adalah berasaskan satu hadis yang diriwayat oleh al-Harith mengenai keutamaan saudara seibu sebapa berbanding saudara seibu atau sebapa sebagaimana sabda Baginda s.a.w “وإن أعيان بني الأم يتوارثون دون بني العلات الرجل يرث أخاه لأبيه وأمه دون أخيه لأبيه”, dengan maksudnya “dan sesungguhnya saudara seibu sebapa, anak-anak seibu (sebapa) adalah mewarisi, bukannya saudara sebapa. Seorang lelaki (yang meninggal dunia), mewarisi daripadanya saudaranya yang seibu sebapa dan bukan saudaranya yang sebapa”. Justeru, sahih atau fasid seseorang waris adalah melihat pada hubungan keturunan daripada pihak lelaki dan juga hubungan berpihak sama ada seibu sebapa atau sebapa, atau seibu sahaja. Dalam hal ini, waris antara saudara atau disebut ¬hawasyi (waris sisi) adalah merupakan waris yang boleh jadi dekat dan boleh jadi jauh dengan si mati, bergantung pada hubungan darjah dan qarabah tadi.
Salam Dr, saya ingin bertanya tentang kedudukan saya sebagai waris kepada datuk saya (sebelah ibu). Saya merupakan cucu sulung lelaki kepada datuk saya. Ibu saya merupakan anak perempuan pertama (seibu sebapa) kepada datuk saya daripada dua belas orang adik beradik. Anak kedua datuk saya juga perempuan, dan mempunyai anak sulung lelaki. Apakah kedudukan saya sebagai waris untuk pembahagian harta datuk saya, setelah ibu saya meninggal?